Jumaat, 6 Julai 2012

Bacaan dan Soalan Kefahaman Teks Cerita


Baca cerita di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

“Apa yang kamu intai-intai itu, Hana?” tanya Suhaila sambil mencuit bahu Suhana yang berada di tepi tingkap dapur.

“Oh, Kak Su! Terkejut Hana. Hana sedang memerhatikan rumah Mak Cik Malar. Mengapa rumahnya gelap saja, sedangkan tingkapnya terbuka?  Setahu Hana, Mak Cik Malar pasti menutup tingkap sebaik sahaja senja menjelang,” kata Suhana kepada Suhaila.

Suhaila segera melihat ke arah rumah Mak Cik Malar. Dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu. “Yalah, Hana. Kalau Mak Cik Malar tiada di rumah, tentu dia menutup tingkap rumahnya sebelum keluar. Jangan-jangan ada sesuatu yang berlaku kepadanya,” kata Suhaila.

“Hana pun berfikir begitu. Mari kita jenguk Mak Cik Malar, kak,” ajak Suhana. “Hana risau,” kata Suhana perlahan seolah-olah berkata kepada dirinya.  Suhaila hanya mengangguk lalu menuju ke pintu. Suhana mengekorinya.

Mereka keluar melalui pintu dapur.  Selepas pintu ditutup, mereka berjalan ke rumah Mak Cik Malar dengan pantas.  Apabila sampai di bahagian dapur rumah Mak Cik Malar, Suhaila terus mengetuk pintu sambil memanggil Mak Cik Malar beberapa kali. Sementara itu, Suhana menuju ke tingkap yang terbuka lalu menjenguk ke dalam rumah.

“Ya Allah, Kak Su! Mari sini. Mak Cik Malar terbaring di lantai tu,” jerit Suhana dengan suara yang cemas.  Matanya terpaku memandang Mak Cik Malar yang terbaring kaku di lantai dapur.  Namun, perasaan lega muncul di hatinya apabila ternampak enjutan perlahan pada dada Mak Cik Malar. “Mak Cik Malar masih bernafas,” kata hati Suhana.

Suhaila yang entah bila berada di sisinya tiba-tiba bersuara, “Hana tunggu di sini sekejap. Biar Kak Su panggil emak dan abah.” Tanpa menunggu sebarang jawapan, Suhaila berlari        ke rumah.         

Suhana berdiri di tingkap itu. Dia terus memerhatikan Mak Cik Malar sambil memanggil namanya. Suhana berharap agar Mak Cik Malar mendengar panggilannya lalu membuka mata. Suhana ingin melihat senyuman ramah Mak Cik Malar seperti yang lazim dilihatnya.


1.
Apakah hubungan di antara Suhaila dengan Suhana?


A           
anak-beranak

B
adik-beradik 

C
jiran tetangga 

D
handai taulan 


2.
Mengapakah tingkap rumah Mak Cik Malar terbuka?


A           
kerana senja belum menjelma

B
kerana Mak Cik Malar berpenyakit 

C
kerana Mak Cik Malar menunggu kedatangan Suhana 

D
kerana Mak Cik Malar tidak dapat menutupnya 


3.
Di manakah rumah Mak Cik Malar?

A           
di belakang rumah Suhaila dan Suhana
B
di tepi tingkap rumah Suhaila dan Suhana 
C
di bahagian dapur rumah Suhaila dan Suhana 
D
di hadapan rumah Suhaila dan Suhana
  

4.
Manakah antara yang berikut yang menunjukkan sikap Suhaila dan Suhana?

A           
jujur
B
berani 
C
prihatin 
D
peramah 


5.
Pada pendapat anda, apakah yang berlaku kepada Mak Cik Malar?

A           
tertidur di dapur rumahnya
B
diserang penyakit yang melemahkan anggota badannya 
C
baring-baring untuk merehatkan badan 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan