Isnin, 16 Julai 2012

Bacaan dan Soalan Kefahaman Teks Surat Kiriman Rasmi


Baca surat rasmi di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Kelab Pencinta Alam,
Sekolah Kebangsaan Kampung Ladang,
73450 Gemas,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
__________________________________________________

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Kampung Ladang ,
73450 Gemas,
Negeri Sembilan Darul Khusus.                      14 MAC 2012.

Tuan,

Memohon Peruntukan untuk Projek “Sungai Kita Nadi Kita”

Dimaklumkan bahawa Kelab Pencinta Alam telah mencapai kata putus dalam mesyuarat baru-baru ini untuk mengadakan projek “Sungai Kita Nadi Kita” secara gotong-royong.

2.         Projek ini bertujuan untuk memupuk kecintaan masyarakat terhadap kebersihan melalui kegiatan membersihkan sungai.  Sungai yang terlibat dalam projek ini ialah Sungai Berkat, iaitu sungai di belakang sekolah ini. Sungai Berkat akan dijadikan sebagai “projek anak angkat” Kelab Pencinta Alam. Pelaksanaan projek ini diharapkan dapat membuka jalan untuk mendidik masyarakat kita agar lebih mengambil berat terhadap kebersihan sungai dan alam sekitar.

3.         Bagi melancarkan perjalanan projek ini, pihak kelab ingin memohon bantuan kewangan dan peralatan daripada pihak sekolah. Bersama-sama dengan surat ini saya lampirkan laporan belanjawan dan senarai peralatan yang kami perlukan.

4.         Saya amat berbesar hati jika pihak tuan dapat menimbangkan permohonan ini. Saya berharap agar jawapan tersebut dapat saya peroleh sebelum 28 Mac 2012. Kerjasama dan sokongan tuan amat saya hargai dan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

   Haris Hafiz

(HARIS HAFIZ)
Setiausaha,
Kelab Pencinta Alam.




1.
Surat ini merupakan

A           
surat aduan

B
surat rayuan  

C
surat undangan

D
surat permohonan



2.
Maksud rangkaian kata-kata mencapai kata putus ialah

A         
selesai
B
sepakat
C
berunding
D
bercadang



3.
Kelab Pencinta Alam memilih Sungai Berkat mungkin sekali kerana

A           
sungai tersebut mengalami pencemaran yang teruk.
B
sungai tersebut terletak berdekatan dengan sekolah.
C
sungai tersebut belum pernah dijadikan “anak angkat” kelab.
D
sungai tersebut sentiasa menjadi sebutan penduduk setempat.


4.
Apakah harapan Kelab Pencinta Alam melalui kegiatan tersebut?

A           
Guru Besar sekolah dapat meluluskan permohonan itu.
B
Peruntukan itu dapat diterima sebelum 28 Mac 2012.
C
Masyarakat setempat bersedia untuk memberikan kerjasama.
D
Masyarakat akan lebih peka terhadap kebersihan alam sekitar.


5.
Peralatan yang berikut mungkin diperlukan dalam projek ini kecuali

A           
cangkul
B
kereta sorong
C
kompas
D
pongkes












Tiada ulasan:

Catat Ulasan