Isnin, 8 Oktober 2012

Karangan keperihalan



        Seperti biasa aku ke sekolah menunggang basikal. Jarak rumahku ke sekolah kira-kira dua kilometer saja. Aku menunggang dengan penuh hati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan di jalan raya.
            Beberapa pelajar lain turut menunggang basikal. Mereka menunggang secara bersaing dan berlumba-lumba pula. Mereka sempat bergurau senda juga semasa menunggang basikal.
          Di suatu selekoh, datang sebuah kereta dan arah yang bertentangan. Kereta itu dipandu laju. Pemandu kereta itu mencuba mengelak daripada melanggar pelajar-pelajar itu tetapi gagal.
          Suatu dentuman yang kuat kedengaran. Pelajar-pelajar itu ditimpa kemalangan. Seorang daripadanya terpelosok ke dalam parit manakala seorang lagi terbaring di bahu jalan.
       Aku segera berhenti di bahu jalan lalu memberikan isyarat supaya kenderaan lain memperlahankan kenderaan masing masing. Pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu mengerang kesakitan. Pelajar-pelajar itu segera dikejarkan ke hospital oleh orang ramai.
        Kemalangan yang berlaku di depan mataku amat mengerikan. Begitulah padahnya jika kita tidak mematuhi peraturan di jalan raya. Sejak kejadian itu,aku semakin berhati hati semasa menunggang basikal di jalan raya.

Karangan keperihalan



           Apabila disebut nama Badri semua kawan kenal akan nama itu. Aku dikatakan sebagai seorang yang keras kepala. Memang benar gelaran tersebut diberikan kepadaku kerana aku jarang-jarang mendengar nasihat, meskipun nasihat ibuku sendiri.
          Pada suatu hari, aku merayau-rayau di sekitar kampung. Aku terpandang akan beberapa biji mangga yang telah masak di kebun jiranku. Tanpa membuang masa, aku pun segera memanjat pohon mangga itu. Aku tidak meminta kebenaran daripada empunya kebun itu.
         Tanpa aku duga, rupa-rupanya terdapat sarang tebuan pada pohon mangga itu. Dengan tidak sengaja aku merosakkan sarang itu. Sebagai akibatnya, beberapa ekor tebuan menyengat badanku.     Terpaksalah aku terjun dan atas pohon mangga itu untuk menyelamatkan diri.
       Aku menjerit meminta pertolongan. Mujurlah, orang-orang kampung terdengar akan jeritanku. Mereka segera memberikan bantuan.
         Aku dihantar ke hospital. Aku terpaksa tinggal di wad selama lima hari. Aku berasa terseksa kerana terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat.
          Aku kesal atas peristiwa yang terjadi pada diriku. Aku menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibuku. Semenjak hari itu, aku berjanji tidak mahu mencuri lagi. Peristiwa tersebut akan aku kenang selagi hayat dikandung badan.

Karangan Keperihalan



              Pada hari Khamis yang lalu, sekolah saya telah mengadakan suatu majlis, iaitu Hari Penyampaian Hadiah. Majlis ini diadakan untuk menghargai pencapaian cemerlang para pelajar sama ada dalam kurikulum mahupun dalam kokurikulum. Majlis ini telah berlangsung di dewan sekolah.
             Kira-kira jam 8.00 pagi, ibu bapa dan para jemputan mula memenuhi dewan. Majlis dimulakan tepat jam 8.15 pagi. Pegawai Pendidikan Daerah, iaitu Tuan Haji Abd. Rahim bin Ali telah memberikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis tersebut. Dalam ucapannya, beliau memuji pencapaian cemerlang para pelajar.
               Sebaik saja selesai majlis perasmian, diadakan pula persembahan para pelajar. Para pelajar Tahun Enam telah menyampaikan persembahan koir. Kumpulan koir yang dipimpin oleh Cikgu Mujamal merupakan johan koir di peringkat negeri Melaka. Para pelajar dan tetamu memberikan tepukan gemuruh kepada kumpulan koir tersebut.
               Kemudian, tibalah giliran pelajar Tahun Lima mempersembahkan lakonan. Lakonan ini mengisahkan anak yang tidak mendengar nasihat. Persembahan kumpulan ini tidak kurang hebatnya dan berjaya mengusik hati tetamu dan pelajar.
               Acara yang ditunggu-tunggu pun tiba iaitu majlis penyampaian hadiah. Para pelajar yang cemerlang dalam bidang tertentu naik ke pentas untuk menerima hadiah. Hadiah disampaikan oleh Guru Besar iaitu Cikgu Hasmidan Selamat. Para pelajar gembira menerima hadiah masing-masing.
               Majlis tamat pada pukul 12.00 tengah hari. Sebelum bersurai ibu bapa dan tetamu menikmati jamuan ringan di kantin sekolah.

Karangan Ucapan


Ucapan Majlis Perpisahan

                Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, yang diraikan Tuan Guru Besar SK Permatang Tok Mahat, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.Selamat pagi dan salam sejahtera.
               Tujuan kita berkumpul di sini adalah untuk meraikan majlis perpisahan guru besar, Puan Saniyah Binti Hashim yang akan bersara pada 10 September 2009.
Hadirin yang dihormati,
              Puan Saniyah merupakan seorang guru besar yang bertanggungjawab dan tegas serta disayangi oleh semua warga sekolah ini. Saya berasa amat sedih kerana persaraan beliau merupakan satu kerugian besar bagi sekolah kita.
               Sepanjang empat tahun beliau berkhidmat di sini, beliau menyumbang banyak jasa dan pengorbanan. Dari segi akademik, beliau merancang beberapa program untuk memajukan pretasi murid-murid. Dalam usaha beliau, keputusan UPSR telah meningkat dari setahun ke setahun.
                Selain itu, Puan Saniyah juga berjaya meningkatkan prestasi kokurikulum pihak sekolah. Pasukan kawad kaki telah berjaya menjuarai pertandingan kawad kaki di peringkat negeri dan kebangsaan di bawah pentadbiran beliau
Para hadirin sekalian,
              Bagi mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya selaku ketua murid mewakili rakan-rakan lain mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Saniyah. Semoga beliau hidup dengan aman dan sihat sejahtera selalu.

Karangan Syarahan


Faedah Mempunyai Hobi

             Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, Penolong Kanan, panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. "Kepentingan Mempunyai Hobi yang Menguntungkan" adalah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan buat hadirin semua.
Hadirin dan Hadirat sekalian,
            Hobi merupakan sesuatu aktiviti yang dilakukan pada waktu senggang. Hobi boleh dilakukan tidak kira di mana jua, sama ada di dalam mahupun di luar rumah. Banyak kepentingan dan faedah yang boleh kita peroleh daripada hobi yang kita lakukan setiap hari.
             Kita boleh memanfaatkan kepentingan dan faedah itu pada masa hadapan.Contohnya, hobi yang menguntungkan ialah melayari internet, membaca buku dan juga membaca surat khabar. Kita boleh memanfaatkan hobi ini dengan menambahkan ilmu dari segi pengetahuan am dan juga tentang isu-isu semasa.              
              Hobi boleh dilakukan oleh semua golongan masyarakat tidak kira yang tua mahupun yang muda. Ini kerana terdapat banyak hobi yang boleh dilakukan oleh semua golongan masyarakat. Contohnya, bersukan atau bersenam. Ini juga adalah hobi yang menguntungkan kerana dapat menyihatkan badan bukan sahaja setakat kesihatan fizikal malah kesihatan mental juga.
             Selain itu, bercucuk tanam juga adalah salah satu hobi yang sangat menguntungkan. Bak kata pepatah, "berbudi kepada tanah, pasti akan mendapat hasilnya". Dengan hasil tanaman tersebut, kita boleh menjualnya untuk menambahkan pendapatan. Di samping itu, kita juga dapat mengurangkan suhu cuaca yang kini menjadi semakin panas.
              Kesimpulannya, jelaslah bahawa mempunyai hobi yang menguntungkan amatlah berguna kepada kita semua. Sebelum saya mengakhiri syarahan saya, ingin saya sampaikan serangkap pantun yang telah di reka khas;
Banyak burung berterbangan,
Burung bayan, burung merpati,
Kepentingan hobi amat menguntungkan,
Faedah dan kebaikan kita manfaati.

Sekian terima kasih.

Karangan Fakta


Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum

             Kokurikulum  ialah aktiviti luar darjah yang bermanfaat dan begitu berkesan untuk membentuk pelajar yang cemerlang dalam semua bidang. Kokurikulum merangkumi aktiviti persatuan,unit beruniform serta sukan dan permainan untuk murid tahun tiga hingga tahun enam.
Penyertaan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum dapat membentuk sikap kepimpinan seseorang murid. Murid dapat mengasah bakat kepimpinan mereka sepanjang menyertai aktiviti kokurikulum  ini.keaktifan dalam kegiatan kokurikulum juga akan melahirkan individu yang tegas,beretika dan cekal.
Aktiviti kokurikulum menekankan amalan bekerja secara berpasukan. Kerja yang berat dapat diringankan.Secara tidak langsung, murid-murid dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Penglibatan dalam aktiviti ini juga membolehkan masa murid terisi dengan tugasan yang bermanfaat. Ini dapat menghindari murid daripada sebarang pengaruh yang negatif seperti lepak dan ponteng sekolah.
             Kejayaan dalam pertandingan yang disertai juga dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang murid. Selain itu, kejayaan seperti ini dapat menaikkan nama sekolah.

             Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum banyak faedahnya. Oleh itu, semua murid digalakkan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.

Karangan Fakta


Faedah Belajar Secara Berkumpulan

               Setiap pelajar mempunyai kaedah belajar tersendiri.setiap murid perlu memilih kaedah dan teknik belajar yang paling berkesan dan mudah.Antara teknik belajar yang berkesan ialah belajar secara berkumpulan.
             Belajar secara berkumpulan banyak faedahnya.Pelajar yang lebih lemah boleh meminta bantuan daripada rakan yang lebih bijak.Mereka juga dapat mengetahui maklumat dengan lebih cepat.
             Selain itu,belajar secara berkumpulan juga dapat mungurangkan kos membeli bahan bacaan dan latihan.Pelajar boleh berkongsi buku rujukan bersama-sama.
              Seterusnya,belajar secara berkumpulan juga boleh mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Semua pelajar dapat berbincang tentang pelajaran dalam suasana yang menyeronokkan.
              Belajar secara berkumpulan juga dapat membantu murid untuk menilai tahap pencapaian diri sendiri. Persaingan yang lebih sihat dalam kalangan murid dapat diwujudkan dan seterusnya motivasi seseorang murid akan meningkat.
             Kesimpulannya, aktiviti belajar secara berkumpulan perlu dilaksanakan dengan terancang dan teratur. Murid-murid perlu berdisiplin dan berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.