Isnin, 8 Oktober 2012

Karangan Ucapan


Ucapan sempena Hari Guru.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Guru Besar,Guru Penolong Kanan,guru-guru dan rakan sekalian.Saya sebagai wakil murid,ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru  di sekolah ini.

Hadirin  sekalian,
     Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Hari ini merupakan hari  yang amat sesuai untuk kita mengadakan sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa guru.Oleh itu marilah kita menghargai jasa guru.

      Guru ialah insan yang mendidik,mengasuh dan membimbing kita hingga kita dapat mencapai kejayaan.Kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya dan wajar dikenang sepanjang hayat.Mereka tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat mengenal huruf ,membaca dan mengira. 

     Guru juga adalah  ibu bapa kita di sekolah.Oleh itu,kita mestilah menghormati guru.Segala nasihat  guru mestilah kita dengar dan patuhi.Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat mereka. 
   
Rakan-rakan yang dikasihi,
Guru adalah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar.Mereka sedia  mendengar  segala masalah yang kita tidak fahami dalam pelajaran.Oleh itu,guru adalah pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita di sekolah.

     Sesungguhnya jasa guru tidak ternilai harganya.Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.Wahai para guru yang kami sayangi,jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar . 

 Sekian , terima kasih.

Karangan Fakta


Karangan Fakta – Cara-cara menjaga kesihatan Diri
              Kesihatan dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap kesihatan menentukan keadaan kehidupan yang dijalani oleh seseorang . Ada banyak cara untuk menjaga kesihatan diri.
               Antara cara menjaga kesihatan ialah dengan mengambil  makanan atau diet yang seimbang . Memakan makanan seimbang dapat memastikan badan menerima khasiat yang diperlukan.Kita digalakkan memakan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kekal sihat.
                 Selain itu,aktiviti senaman  ringan dua atau tiga kali seminggu juga mampu memberikan tahap kesihatan yang baik. Peluh yang keluar ketika kita bersenam dapat membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami oleh seseorang itu.  
                   Penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan penyakit. Selain daripada memastikan diri sentiasa bersih, kawasan tempat tinggal juga harus dipantau tahap kebersihannya agar penyakit berjangkit seperti taun tidak merebak.
              Seseorang itu harus menjalani pemeriksaan doktor yang kerap untuk memastikan kesihatan terpelihara. Tindakan ini menyebabkan sesuatu penyakit dapat dikesan lebih awal dan menerima rawatan yang sewajarnya.
               Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang.Harta yang penting dalam diri manusia ialah kesihatannya bukannya wang ringgit kerana kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang.

Karangan Fakta


Faedah Menabung

 

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.  
      Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi  oleh ibu dan bapa dapat disimpan ke dalam tabung.
     Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.
     Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika  ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. 

     Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.

        Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, “ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis”. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”.

Karangan Sambung Cerita



Petang ini aku pulang dari perpustakaan seorang diri. Ketika itu hujan renyai-renyai. Setiba di perhentian bas, aku terdengar bunyi tangisan bayi. Aku pun ……………


(mulakan karangan dengan… Aku pun ...

Aku pun terdiam sejenak. Aku cuba untuk pastikan bunyi itu betul-betul suara bayi. Hatiku bercampur-baur. Takut pun ada, gementar pun ada. Namun aku memberanikan diri untuk mendekati suara itu.
Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati seorang bayi yang baru lahir telah ditinggalkan di situ seorang diri. Perkara paling menyedihkanku ialah bayi tersebut diletakkan di tepi longkang dan dibalut kain putih. Bisik hatiku, “Ibu bayi ini umpama binatang, binatang pun kadang-kadang sangat menyayangi anak-anaknya.’’
Perasaan takut tadi bertukar menjadi belas. Aku mengambil tindakan segera. Aku mendukung bayi tersebut dan membersihkan kotoran yang melekat padanya. Aku juga mengelap bayi yang basah kuyup itu.
Kemudian, aku cuba menahan teksi yang lalu lalang di situ. Namun, kesemua teksi yang kutahan tidak berhenti.  Aku cuba menanti ketibaan bas. Tetapi bas yang kunantikan tidak juga muncul.
Tiba-tiba aku mendapat satu fikiran. Kuhampiri  telefon awam yang terdapat berhampiran dengan stesen bas itu,. Dalam keadaan kelam-kabut dengan tangisan bayi itu, aku cuba menelefon ke rumahku. Namun,  segala-galannya hampa belaka, kerana panggilanku tidak berjawab. ‘Mungkin ,ibu dan bapaku tidak ada di rumah’’,bisikku.
Walaupun kecewa, kucuba sedaya upaya juga. Kali ini, aku cuba menahan kereta sesiapa sahaja. Nasib menyebelahiku apabila sebuah kereta telah berhenti dan menanyakan masalahku. Aku menceritakan apa yang berlaku. Pemuda tersebut membawa aku dan bayi tersebut ke sebuah hospital berhampiran. Kemudian, kuceritakan semua yang berlaku kepada doktor yang bertugas. Doktor tersebut telah menelefon pihak polis dan ibu bapaku.
Lebih kurang sepuluh minit kemudian, pihak polis serta ibu bapaku tiba di hospital. Pihak polis telah memberikan pujian terhadap tindakanku  itu. Ibu bapaku juga amat gembira dan bangga terhadap tindakanku itu.

 

 

Contoh Karangan Fakta


Faedah mempunyai hobi

 

 

         Semua murid mempunyai hobi masing-masing. Hobi selalunya dilakukan pada masa lapang. Setiap hobi , datangnya daripada minat masing-masing. Antara contoh hobi  ialah , bermain bola sepak,mengumpul syiling lama,mengumpul setem,dan pelbagai lagi.Hobi mendatangkan banyak faedah.

        Antara faedah mempunyai hobi yang baik hobi ialah boleh mengisi masa senggang kita. Kita akan terhindar daripada melakukan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah.

           Selain itu,kita juga dapat ramai kawan dan boleh bertukar-tukar fikiran jika  mempunyai hobi seperti bermain bola sepak.

       Orang yang mempunyai hobi akan dapat menambahkan pengetahuan lebih mendalam tentang hobinya. Contohnya ,jika hobi bermain bola sepak akan dapat menambah kemahiran bermain permainan tersebut.  Kita akan lebih cekap bermain permainan tersebut.Seterusnya , kita akan dipilih mewakili sekolah ke pertandingan yang akan diadakan.

       Jika kita memenangi perlawanan tersebut , kita akan mendapat ganjaran iaitu upah. Ini akan menambahkan wang tabungan kita.

      Oleh itu , kita hendaklah memilih hobi yang sesuai dan banyak mendatang faedah kepada kita.Bukan kita sahaja dikenali , keluarga, sekolah  dan tempat kita tinggal juga akan dikenali .


Ahad, 7 Oktober 2012

Teknik Menjawab BM 2 UPSR


Tip UPSR: Jawapan tepat bantu calon cemerlang Bahasa Melayu Penulisan

BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan.

Persediaan awal itu penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.

Sebagai peringatan, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

(a) Bahagian A

 

1. Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah.

 

2. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu.

 

a. Langkah pertama

 

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga, iaitu “tentang”, “aktiviti” atau “situasi”.

 

Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat “Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat”. Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat.

 

Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).

 

b. Langkah kedua

 

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar.

 

Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang ada.

 

 

c. Langkah ketiga.

 

Calon mula membina ayat berdasarkan kata kerja yang telah disenaraikan.

 

Dinasihatkan agar calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak).

 

Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana, mengapa dan bila).

 

Contoh:

 

Watak Kata Kerja Maklumat

 

Beberapa orang murid - menyertai - pertandingan lukisan

 

- melukis - sempena Hari Kebangsaan

 

- mewarna - di dewan

 

Jawapan contoh: Beberapa orang murid yang menyertai pertandingan lukisan sedang melukis dan mewarna lukisan mereka sempena Hari Kebangsaan di dewan.

 

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna.

 

Calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.

 

Pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan.

 

Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.

 

 

d. Langkah keempat

 

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif.

 

Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya. Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah.

 

Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara “memangkas” dengan “mencantas”, dan “membelah” dengan “mengerat”. Maknanya berbeza mengikut keadaan atau konteks ayat.

 

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, “Ayah menjual ikan” dengan “Ayah penjual ikan”. Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.

 

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar.

 

Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.

 

 

(b) Bahagian B

 

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit.

 

Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan kaedah FMK iaitu Formula Menulis Karangan, iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332. Setiap karangan mempunyai enam perenggan.

 

233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.

 

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.

 

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.

 

 

a. Langkah pertama

 

Pilih soalan. Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab.

 

Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.

 

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya;

 

Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong. Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu.

 

Kunci soalan ini ialah “Ceritakan tindakan”. Kehendak soalan ialah “menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan”. Manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat.

 

Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.

 

 

b. Langkah kedua

 

Merangka karangan. Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada “Peta Minda”, “Melakar Isi” atau “Teknik Penyoalan”.

 

 

c. Langkah ketiga

 

Menulis karangan. Pastikan ada enam perenggan bagi karangan yang calon tulis.

 

Pastikan calon tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pendahuluan. Contohnya:

 

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

 

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.

 

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2.

 

Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK, iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC, iaitu isi, kesan dan contoh.

 

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti berbentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.

 

 

d. Langkah keempat

 

Semak karangan. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.

 

 

(c) Bahagian C

 

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.

 

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.

 

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran.

 

Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu.

 

Pengajaran bagi ayat ini ialah “menghargai”, manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah “Abang mengucapkan terima kasih”.

 

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya.

 

Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan.

 

 

a. Langkah pertama

 

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran.

 

Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran waktu malam.

 

Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah “mengulang kaji”.

 

Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.

 

 

b) Langkah kedua

 

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

 

Pengajaran Perbuatan Agar atau Siapa

 

Rajin mengulang kaji pelajaran - lulus periksa

 

- Zaidi

 

 

c) Langkah ketiga

 

Membina ulasan lengkap.

 

Contohnya: Kita mestilah rajin mengulang kaji pelajaran agar lulus peperiksaan seperti Zaidi.

 

Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

 

 

d) Langkah keempat

 

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.

 

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Dicadangkan;

 

·  Bahagian A - tiga minit faham gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak.

 

·  Bahagian B - 10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan.

 

·  Bahagian C - Lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak.

 

·  Masa lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.